Menarik! Resort Dengan Suasana Tropika Ini Rupanya Ada Taman Tema Air Tertutup Terbesar Di Eropah.

Bercuti dalam persekitaran tropika sepanjang tahun di Eropah bukanlah sesuatu yang mustahil jika anda tahu ke mana hendak dituju. Hanya satu jam perjalanan menaiki kereta api dari Berlin Central ke Brandenburg, Jerman, anda akan tiba ke Tropical Islands Resort.

Seperti namanya, resort ini menawarkan suasana dan persekitaran tropika di bumi Eropah, dengan suhu 25 darjah Celsius sepanjang tahun.

Tropical Islands Resort adalah taman tema air tertutup terbesar di Eropah. Dengan keluasan 360 meter panjang, 210 meter lebar dan 107 meter tinggi, ia juga diisytiharkan oleh Guinness World Records 2017 sebagai taman tema air tertutup terbesar di dunia.

Menikmati cuaca tropika di kawasan lagun tertutup di Tropical Islands Resort.

Bangunan ini pada asalnya ialah bangunan untuk menyimpan dan menyenggara kapal terbang yang berkeluasan 66,000 meter persegi. Ia mempunyai kubah yang dilitupi bumbung aluminium seluas 20,000 meter persegi; membolehkan cahaya matahari masuk, dan memberi suasana tropika.

Kawasan tertutup Tropical World menggabungkan suasana tropika wilayah Asia Pasifik, Afrika dan Amerika Selatan dalam sebuah taman tema. Fokusnya ialah permainan air yang boleh dinikmati kanak-kanak dan juga orang dewasa. Di sini juga letaknya gelongsor air tertinggi dan jeram sungai (white water) terpanjang di Jerman.

Walau apa jua musim, udara di bahagian tertutup Tropical World kekal pada 25 darjah Celsius dengan kelembapan udara 64 peratus. Ia menempatkan hutan tropika tertutup terbesar dunia (berkeluasan 10,000 meter persegi) dengan 50,000 spesies pokok tropika, pantai berpasir, beberapa buah kolam renang, bar dan restoran.

Tropical Islands Resort ini juga mempunyai kawasan terbuka, Tropical Islands AMAZONIA yang berlandskap tropika dengan pelbagai tarikan bertema air lain.

Kawasan terbuka Tropical Islands AMAZONIA
Ribuan spesies tumbuhan membangkit suasana dan persekitaran tropika di dalam teman tema tertutup ini

Suhu airnya sentiasa dikekalkan pada 31 darjah Celsius dan boleh digunakan dalam apa jua musim. Ia dibuka sepanjang tahun, 24 jam sehari dan 7 hari seminggu.

Di resort ini, pengunjung boleh menikmati pelbagai kemudahan seperti spa dan sauna seharian dalam suasana tropika. Pengunjung juga boleh memilih untuk bermalam, kerana di sini terdapat banyak pilihan penginapan.

Anda boleh memilih sama ada untuk menempah bilik, rumah kecil, suite, rumah mobil atau berkhemah di kawasan terbuka atau tertutup, kerana resort ini juga mempunyai kawasan perkhemahan.

Tropical Islands Resort telah mendapat pelbagai pengiktirafan. Antaranya, mendapat tempat ketiga dalam kategori Taman Tema Air Terbaik Eropah oleh European Star Award pada 2014, terpilih sebagai destinasi ke-11 paling popular di Jerman dalam kaji selidik yang dijalankan oleh Lembaga Pelancongan Kebangsaan Jerman. Menurut Holiday Check pula, Tropical Islands mempunyai salah satu hotel terbaik dunia pada tahun lalu.

Gelongsor air tertinggi di Jerman

Sumber foto: www.tropical-islands.de



Booking.com