Riadah Hujung Minggu Bersama Keluarga Sekitar SELANGOR

SETIAP kali tiba hujung minggu pasti ramai yang mula pening kepala fikirkan aktiviti terbaik untuk dilakukan. Terutamanya bagi golongan ibu bapa yang mencari aktiviti riadah sesuai untuk anak-anak. Selain berjalan di taman atau berehat di rumha, tempat-tempat berikut boleh dijadikan pilihan membawa anak-anak. Semuanya dekat je.

Sunway Lagoon

Lebih 80 tarikan terdapat di Sunway Lagoon yang terdiri daripada taman air, taman hiburan, taman hidupan liar dan taman ekstrem. Pengunjung boleh memilih pakej taman tertentu atau menghabiskan sehari merasa kesemuanya. Antara yang menarik adalah jambatan gantung terpanjang dunia, zoo interaktif dan flying fox terpanjang di Asia.

Wet World  

Wet World merupakan taman tema air pertama di Shah Alam dan sesuai untuk melakukan aktiviti santai bersama keluarga. Dibuka pada 1995, memenuhi keselamatan pengguna bawah umur dengan kedalaman air tidak melebihi satu meter yang dianggap sebagai mesra kanak-kanak. Antara permainan air yang menjadi tarikan ialah Fountain of Youth, Cascading Waterfalls, Neptune Challenge, Atlantis City, Big Splash, Lighthouse Escape, Tunnel Water Slide dan Treasure Island.

Bangi Wonderland

Bangi Wonderland menawarkan 15 tarikan permainan berasaskan air iaitu Boomeriang, Water Cannon, Spiralax, Body Slide, The Fall, Anaconda Trail dan Insane Racer. Antara tarikan lain adalah Wonder Loop, Magic Funnel, Green Pearl, Pirates Bay, Kids Adventure, Meander River, Typhoon River dan Pirate Spa. Di sini juga turut disediakan pakej untuk sebarang majlis bagi pengunjung yang berminat.

Kidzania Kuala Lumpur

Kanak-kanak pasti suka jika dibawa ke Kidzania yang terletak di Mutiara Damansara. Di sini mereka dapat merasa pengalaman bekerjaya seperti orang dewasa. Terdapat 60 jenis aktiviti berasaskan pekerjaan yang boleh dilakukan. Mereka akan bekerja dan diberikan gaji. Wang yang diterima dalam bentuk matawang KidZania dipanggil KidZos, boleh disimpan ke dalam akaun bank atau dibelanjakan di mana-mana kedai di dalamnya. Aktiviti KidZania ini sesuai untuk kanak-kanak berumur 4 hingga 12 tahun.

Jumpstreet Asia

JumpStreet Trampoline Parks adalah tempat permainan urban yang sesuai untuk orang dewasa dan kanak-kanak, dengan pelbagai pilihan trampolin dari lantai hingga ke dinding. Lokasi ini menjadi pilihan terbaik bagi mereka yang suka aktiviti riadah.

District 21

Bagi mereka yang suka melakukan aktiviti indoor extreme, boleh ke District 21 yang terletak di dalam pusat membeli-belah IOI City Mall, Putrajaya. Di District 21 terdapat 11 tarikan pengembaraan dan kebanyakannya tidak pernah dilihat di Asia. Antaranya ialah wall climbing, roller glider, pump track dan banyak lagi.



Booking.com