Santorini Hadkan Berat Penunggang Keldai

Santorini adalah sebuah pulau di Greece. Ketika musim puncak pelancongan antara Mei hingga Oktober, lebih 1,000 buah kapal persiaran akan singgah di pulau itu.

Memandangkan muka buminya yang berbukit-bukit, keldai digunakan untuk membawa pelancong mengeliling pulau tersebut yang mempunyai beratus-ratus tangga batu berturap. Keldai ini digunakan sepanjang hari, tujuh hari seminggu, tanpa perlindungan, rehat dan minum yang cukup.

Kasihan melihat keadaan keldai itu, sebuah persatuan pencinta haiwan membuat aduan kepada kerajaan. Menurut persatuan itu, gara-gara membawa pelancong yang terlampau berat, keldai-keldai berkenaan mengalami kecederaan pada bahagian tulang belakang dan luka melecet kerana penggunaan pelana yang tidak sesuai.

Susulan aduan itu, kerajaan Greece telah mengeluarkan larangan bagi mengehadkan berat `muatan’ yang dibawa oleh keldai-keldai itu. Mulai sekarang, keldai-keldai itu tidak lagi akan membawa sebarang muatan yang lebih berat daripada 100 kg atau 20 peratus daripada beratnya.

Selain itu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Makanan negara itu turut menegaskan, di bawah undang-undang baru tersebut, pemilik keldai perlu memastikan kesihatan haiwan itu berada pada tahap yang baik.

Haiwan yang tidak sihat – yakni sakit, cedera, sarat mengandung serta yang ladamnya tidak diselenggara dengan baik – tidak boleh digunakan untuk bekerja dalam apa jua keadaan, lapor MailOnline.

 



Booking.com