Sedapnya Gulai Temenung Mak Teh!

Oleh: Rahaiza Ismail
(Yang mengikuti Road Tour Agro Tourism Siri 4)
Foto: Nooreeza Hashim

SEMPOI jer gulai ikan temenung ni tapi rasanya memang power! Tambah pula makan dengan nasi panas, sambal belacan dan ulam-ulaman. Silap-silap boleh dua tiga pinggan nasi sekali makan. Itulah pengalaman WOWmalaysia singgah makan di Makteh Gulai Temenung Kuala Sanglang, Kedah.
Walaupun lawatan ke Makteh Gulai Temenung Kuala Sanglang masih awal pagi tetapi aroma gulai temenung air tangan Makteh membuat kami semua tidak sabar untuk makan tengah hari.

Di sini, memang banyak lauk pauk segar hasil tangkapan nelayan daerah Kuala Sanglang. Paling popular di kalangan masyarakat di sini ialah ikan temenung ataupun ikan kembung. Masakan kegemaran sudah pasti kari ataupun panggilan mesra di utara `gulai’.

Menurut pemiliknya, Saadiah Baharom yang mesra disapa Makteh, setiap hari dia akan sediakan gulai ikan temenung seawal pagi untuk pelanggan setianya. Bukan sekilogram tetapi boleh mencecah lebih 50 kilogram sehari tau!

Bayangkan kalau anda menikmati nasi panas dengan gulai ikan temenung segar yang baru beberapa jam dinaikkan dari jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)Kuala Sanglang yang berada dalam jarak beberapa meter dari kedai ini.

Aroma gulai atau kari ini sudah pasti membuat perut anda berkerongcong. Tipulah kalau anda tak tergoda. Paling tidak dapat sepinggan nasi dengan sepinggan gulai ikan temenung pun jadilah.

Makteh di depan kedai makannya.

Kata Makteh, dia masak campak-campak sahaja asalkan cukup lengkap asam garamnya. Paling penting ialah ikan mesti segar! Air tangannya menyebabkan kedai ini tak lekang dari tumpuan penduduk setempat mahupun pengunjung luar yang datang semata-mata mahu menikmati kesegaran dan keenakan gulai ikan temenungnya.

Jadi kalau anda berada di Kedah, mai la singgah Makteh Gulai Temenung Kuala Sanglang! Waze jer…lokasinya bersempadan Kedah dan Perlis.

 



Booking.com