Summer Fun Pandu Pelancong Teroka Hong Kong

on

Hong Kong menyediakan tawaran lebih hebat bagi rakyat Malaysia, Indonesia dan Filipina yang berkunjung ke sana pada musim panas ini.

Kalau sebelumnya Disneyland dan tempat membeli-belah menjadi daya penarik utama untuk ke sana, kini anda berpeluang meneroka tempat-tempat unik dan menarik di situ seumpama penduduk tempatan.

Hong Kong sememangnya popular sebagai destinasi percutian di kalangan rakyat Malaysia, baik yang melancong secara solo, berkumpulan atau bersama keluarga. Apatah lagi jarak perjalanannya pun tidak begitu jauh – kira-kira empat jam penerbangan dari Kuala Lumpur.

Menurut Lembaga Pelancongan Hong Kong (HKTB), tiga buah negara dari Asia Tenggara yang mencatatkan paling ramai pelancong ke situ ialah Malaysia, Indonesia dan Filipina. Sehubungan itu,  bagi meningkatkan kemasukan pelancong ke wilayah itu pada tahun ini, HKTB menjalin kerjasama dengan Wego – laman pelancongan online – untuk merangka promosi khusus mengenai wilayah itu dengan menonjolkan keunikan dan tarikan tersembunyi mengenainya.

Kempen Summer Fun menawarkan pelbagai aktiviti yang membolehkan pelancong, terutama golongan muda dan keluarga, meneroka Hong Kong seumpama penduduk tempatan, seperti mencari tempat terbaik untuk makan, membeli-belah dan bersiar-siar pada musim panas ini.

“Wego telah menyediakan sebanyak 360 aktiviti pemasaran bagi meningkatkan jumlah ketibaan pelancong ke Hong Kong,’’ kata pengasas bersama Wego, Craig Hewett dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh HKTB.

“Secara khususnya, kami berharap dapat mencetuskan minat pelancong terhadap sajian halal, keseronokan aktiviti mesra keluarga dan tempat-tempat kebudayaan yang menarik di wilayah itu,’’ tambah beliau.

Selain promosi langsung, Wego juga menyediakan aktiviti pemasaran kandungan khusus, peraduan media sosial dan program `influencer outreach’. Kempen ini selari dengan ciri-ciri terkini pengguna dan gaya melancong warga Indonesia, Malaysia dan Filipina yang suka melancong untuk meneroka pengalaman baru. Kebanyakan mereka juga mahir teknologi dan mahukan tawaran terbaik semasa membeli-belah.

Ini merupakan tahun kedua HKTB bekerjasama dengan Wego. Menurut Hewett, carian di laman Wego untuk Hong Kong meningkat sebanyak 43 peratus pada tahun ini berbanding tahun 2017. Dapatkan maklumat lanjut mengenai kempen Summer Fun ini dengan melayari laman DiscoverHongKong.com.



Booking.com