Swan Lake Di Genting Highlands

on

Para penggemar balet perlu merebut peluang untuk menyaksikan persembahan ballet Swan Lake oleh kumpulan Ballet West UK di Genting International Showroom di Resorts World Highlands bermula pada 24 Ogos ini.

Persembahan balet ini dijayakan sepenuhnya oleh para penari balet profesional dari UK di bawah arahan koreografer tersohor, Daniel Job yang turut bertindak sebagai penasihat artistik dan ballet master untuk produksi ini.

Ini merupakan kali pertama Ballet West UK mengadakan persembahan di Malaysia yang merupakan salah satu destinasi dalam siri Persembahan Perdana Asia mereka. Sebanyak enam persembahan akan diadakan bermula dari 24 Ogos hingga 26 Ogos, dan dari 31 Ogos hingga 2 September ini. Segmen solo dalam persembahan selama 150 minit (termasuk masa rehat) akan dibawakan oleh Jonathan Barton, Natasha Wilson dan Uyu Hiromoto.

Bagi penggemar balet, Swan Lake merupakan satu karya yang bukan asing lagi. Karya klasik ini dihasilkan lebih dua abad lalu oleh Pyotr Ilyich Tchaikovsky , dan ia merupakan karya balet yang paling digemari, selain The Nutcracker.

Swan Lake memaparkan kisah percintaan, magis dan tragedi di antara Putera Siegfried yang jatuh cinta kepada gadis jelita bernama Odette semasa baginda berburu di tepi tasik pada harijadinya. Malangnya Odette telah disumpah oleh ahli sihir kejam, Van Rothbart.

Tarian ballet Swan Lake telah dipersembahkan buat julung kali pada 1877 di Bolshoi Theatre di Moscow. Dan selama lebih dua abad, penonton tetap terpegun menyaksikan kisah Odette dan Putera Siegfried yang `hidup’ dengan alunan muzik ciptaan Tchaikovsky dan persembahan balet yang memukau.

Ballet West UK telah mencatatkan banyak kejayaan dalam dunia balet sejak 28 tahun lalu. Persembahan mereka sering mencatatkan `sold-out’ di lebih 40 buah bandar di UK, Eropah dan China.

Penari-penari Swan Lake by Ballet West UK perlu melalui beberapa siri uji bakat  untuk menepati bidang-bidang seperti versatiliti, teknik yang sukar, kemahiran kreatif yang spontan dan penampilan yang kuat. Penari yang terpilih perlu melalui program latihan yang lasak bagi mempersediakan diri  mereka dari segi fizikal dan mental dengan setiap peranan yang dibawa.

Penonton juga bakal terpegun dengan keindahan kostum yang dipakai oleh para penari produksi ini. Setiap kostum ini dijahit tangan dan menggunakan fabrik terbaik dari Scotland dan Amerika Syarikat. Oleh itu, jangan terkejut kalau setiap tutu yang dipakai oleh penari ini harganya mencecah 2000 pound sterling (lebih RM10,000) dan memerlukan kira-kira 90 jam untuk dihasilkan menggunakan fabrik sehingga 100 meter.

Mereka yang mahu menyaksikan persembahan ini boleh melayari www.rwgenting.com untuk mendapat maklumat lanjut. Harga tiketnya bermula dari RM388 dan ke atas.

Selain itu Ballet West International Masterclass, yang dikendalikan oleh Fenton – penari serba boleh dalam pelbagai disiplin seperti kontemporari, balet dan jazz – bersama Sonia Fajardo turut diadakan di Arena of Stars, Genting. Masterclass akan diadakan pada 22, 23, 24 dan 30 Ogos 2018. Harga penyertaan untuk setiap masterclass ialah RM585.



Booking.com