Syarikat Penerbangan Kecualikan Caj Tukar Penerbangan Sempena PRU14

Sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), syarikat penerbangan dalam negara menawarkan pengecualian caj penukaran atau perubahan penerbangan bagi tempahan perjalanan pada 9 Mei 2018.

Ini bagi membolehkan rakyat Malaysia memenuhi tanggungjawab mengundi tanpa menjejaskan pelan perjalanan mereka.

Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia dalam satu kenyataan memaklumkan, tawaran itu hanya sah kepada warganegara Malaysia sahaja dan mesti dibuat dalam tempoh masa 10 hari daripada pengumuman tarikh mengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) (10 April).

Penumpang boleh memilih salah satu daripada tawaran yang disediakan iaitu ‘Tukar Penerbangan’ atau ‘Akaun Kredit’.

“Bagi pilihan Tukar Penerbangan, penumpang perlu membuat satu penukaran tarikh untuk semua tempahan tanpa caj tambahan penukaran penerbangan bagi menangguhkan perjalanan sehingga 30 hari daripada tarikh perjalanan asal, tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk dan perbezaan tambang atau cukai.

“Bagi pilihan Akaun Kredit, penumpang boleh mengekalkan nilai tambang dalam akaun Ahli AirAsia BIG untuk perjalanan masa akan datang dengan AirAsia, dan ditebus dalam masa 90 hari bermula dari tarikh yang dikreditkan,” katanya.

Sementara itu, Malaysian Airlines, FireFly dan MASwings turut mengecualikan yuran perubahan penerbangan bagi tempahan sedia ada untuk semua jenis tiket perjalanan antara 8 Mei hingga 10 Mei ini.

“Hanya satu perubahan dibenarkan, dan ia mesti dilakukan dalam tempoh 10 hari bermula hari ini (10 April),’’ ujar kenyataannya hari ini.

Penumpang juga dibenarkan menangguhkan tarikh perjalanan sehingga dua bulan daripada tarikh asal perjalanan. Semua sub kelas tambang dan surcaj bermusim dikenakan mengikut aturan tambang tiket penerbangan yang dibeli.

Sumber: Utusan Malaysia



Booking.com