Tak Susah Cari Produk Halal Di Taiwan – Datuk Fazley

RAMAI pelancong Muslim merasa sukar untuk mencari makanan halal jika ke negara yang majoriti masyarakatnya bukan beragama Islam. Sebagai contoh negara Taiwan yang kita tahu populasi penduduk sana adalah beragama Buddha. Jadi pasti akan timbul rasa ragu untuk mencuba makanan tempatan di sana.

Bagaimana pun menurut Datuk Fazley Yaakob yang juga merupakan Duta Pelancongan Halal Taiwan, tidak sukar untuk mencari produk makanan halal di sana. Apa lagi republik itu kini sedang giat mempromosikan pelancongan halal ke seluruh dunia.

Datuk Fazley akui tatkala pertama kali mencuba hidangan tempatan Taiwan sebelum dilantik menjadi duta, beliau merasa teruja untuk merasa lebih banyak kepelbagaian makanan di sana. Beliau juga memberitahu kebanyakkan makanan di sana menggunakan bahan asas yang sihat seperti sayur dan buah-buahan.

“Tak boleh dinafikan kebanyakan hidangan di Taiwan lebih sihat kerana mereka masak tidak menggunakan minyak. Boleh dikatakan sayur dan buah-buahan menjadi ‘raja’ dalam setiap hidangan.

“Sebab itu saya rasakan kulit wanita Taiwan cantik kerana mereka mengambil makanan berkhasiat serta organik,” ujar Datuk Fazley kepada WOWMalaysia.

Menjalankan tugas sebagai seorang duta, Datuk Fazley bertanggungjawab untuk memperkenalkan lebih banyak produk halal Taiwan kepada masyarakat Malaysia. Bukan hanya dari sudut makanan, malah perkhidmatan lain seperti hotel dan tandas awam juga boleh dikatakan sebagai mesra muslim.

Datuk Fazley senang dilantik sebagai Duta Pelancongan Halal Taiwan untuk dua tahun berturut-turut.

“Sebelum melancong ke Taiwan perlu banyakkan info dan buat sedikit kajian. Tidak susah mencari produk halal di sana terutamanya di bandar Taipei kerana mereka juga ada komuniti muslim yang menjaga produk halal.

“Pelancongan halal semakin mendapat galakan kerajaan Taiwan. Kemudahan surau turut disediakan dalam pusat membeli belah dan mereka juga pastikan penginapan di hotel sesuai untuk pelancong muslim.

“Untuk restoran halal pula, anda boleh guna aplikasi di telefon pintar untuk mencari lokasi. Taip sahaja perkata ‘halal’, pasti semua aplikasi akan tunjukkan restoran tempatan yang sesuai untuk pelancong muslim.

“Anda juga boleh ke laman sesawang Taipei City Government yang menyenaraikan restoran halal. Semua senarai tersebut telah diiktiraf oleh jabatan muslim di sana,” cerita Datuk Fazley.

Beliau turut mencadangkan beberapa lokasi makanan halal yang wajib dikunjungi jika ke Taipei. Antaranya ialah Master Fried Chicken dan Monster. Selain itu anda juga boleh mencari street food jika singgah ke Shilin Night Market.

“Saya juga bakal bekerjasama dengan jenama hotel di sana untuk memperkenalkan menu Malaysia. Saya akan bawa beberapa hidangan kita untuk dipromosikan,” tambah Datuk Fazley.



Booking.com