Taman Tasik Titiwangsa Ditutup Setahun

on
Gambar: Utusan Malaysia

Bermula dari 1 September lalu, Taman Tasik Titiwangsa akan ditutup selama setahun bagi membolehkan kerja-kerja menaiktaraf fasiliti dan kemudahan taman dijalankan untuk projek River of Life atau `Sungai Nadi Kehidupan’. Taman ini dijangka dibuka kembali kepada orang awam pada November 2019.

Menurut kenyataan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), penutupan kemudahan di taman rekreasi tersebut telah dilakukan secara berperingkat-peringkat sejak 14 Mei lalu bagi menambahbaik kemudahan yang ada untuk kemudahan dan keselesaan pengunjung di masa depan.

Hanya laluan jogging yang masih dibuka kepada orang awam di Taman Tasik Titiwangsa. (Gambar: visitkl)

Bagaimanapun, laluan jogging di taman tersebut masih dibuka kepada orang awam.  Pengunjung dinasihatkan supaya berhati-hati semasa menggunakan kemudahan tersebut.

Selain laluan jogging, tiga kemudahan di Jalan Temerloh iaitu Restoran D’Saji Titiwangsa, Pusat Latihan Penguatkuasaan DBKL dan Pusat Menunggang Kuda Kuala Lumpur turut tidak terjejas dengan penutupan tersebut.

Taman Tasik Titiwangsa merangkumi kawasan seluas 95 hektar di mana 57 hektar daripadanya ialah kawasan tasik yang boleh digunakan untuk aktiviti memancing. Kemudahan lain yang ada di taman ini ialah trek kereta kawalan jauh, laluan berbasikal, padang bola sepak, gelanggang tenis, stadium, rumah bot dan aktiviti akuatik, menara peninjau, taman permainan dan pavilion.



Booking.com