Terbang Bersama Rama-Rama…

Bilakah kali terakhir anda melihat rama-rama? Serangga bersayap cantik dengan pelbagai warna ini memang sukar ditemui, apatah lagi di bandar-bandar.

Tahukah anda Mexico dan Taiwan adalah dua negara yang terkenal sebagai ‘syurga’ untuk melihat rama-rama…bukan puluhan atau ratusan ekor, tetapi jutaan rama-rama pada satu-satu masa!

Mexico mempunyai satu kawasan berkeluasan 56,259 hektar yang diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Rizab Biosfera Rama-rama Monarch terletak di kawasan hutan pergunungan, kira-kira 100 kilometer di barat laut Mexico City.

Setiap tahun pada musim gugur, jutaan rama-rama Monarch berwarna oren-hitam dari serata Amerika Utara akan terbang ke rizab ini, dan berkumpul di satu kawasan kecil dalam hutan simpan tersebut.

Pemandangan jutaan rama-rama daripada satu spesies berada di sebuah kawasan pada satu masa sudah pasti menakjubkan. Jumlah yang begitu banyak menyebabkan pokok-pokok bertukar menjadi oren dan dahan-dahan melentur kerana terlalu banyak rama-rama bertenggek. Apabila di udara pula, ribuan juta sayap-sayap rerama Monarch mengeluarkan bunyi seperti hujan.

Pada musim bunga, rama-rama Monarch akan memulakan migrasi lapan bulan untuk membiak, sehingga ke Timur Kanada. Kemudian ia kembali ke rizab biosfera ini untuk mengelak musim sejuk. Dalam tempoh itu, empat generasi rama-rama lahir dan mati. Bermakna rama-rama yang kembali, bukan rama-rama sama yang memulakan migrasi. Bagaimana rama-rama ini mencari jalan kembali ke kawasan ini masih lagi menjadi satu misteri.

Fenomena ini tidak harus dilepaskan bagi anda yang cintakan alam dan melancong atau mengembara untuk menikmatinya.

Lembah Rerama Ungu, Maolin, Taiwan.

Jika Mexico terlalu jauh, anda masih boleh melihat fenomena alam yang sama di Taiwan. Bagaimanapun rama-ramanya daripada spesies berbeza. Rama-rama Euploeini di Taiwan berwarna ungu bukan berwarna oren seperti rama-rama Monarch di Mexico.

Tempat yang harus anda tuju ialah Selatan Taiwan pada bulan Disember. Ini kerana apabila musim sejuk bermula di utara negara itu, ratusan ribu rama-rama berhijrah ke wilayah-wilayah di selatan yang lebih panas. Kawasan Rekreasi Maolin di Wilayah Kaohsiung ialah kawasan yang paling popular untuk melihat rama-rama migrasi sehingga bulan Mac.

Taiwan memang terkenal sebagai ‘kingdom of butterflies’ kerana mempunyai 400 spesies rama-rama, dan menjadi tempat tumpuan spesies rama-rama paling tinggi di dunia. Antara kawasan yang boleh dilawati untuk melihat pelbagai spesies rama-rama itu ialah: Datunshan, Taman Negara Yangmingshan di mana banyak rama-rama harimau berkumpul pada musim bunga; lembah-lembah di Selatan untuk melihat rama-rama migrasi berwarna ungu; Kawasan Rekreasi Hutan Fuyuan; dan Lembah Rama-rama Kuning di luar Meinong. Selain itu anda juga boleh ke Linnei dan Tatajia (pada Mei dan Jun) untuk melihat serangga yang cantik ini.

Jika anda berhasrat ke Taiwan untuk melihat rama-rama migrasi, anda perlu peka dengan keadaan cuaca. Lebih tepat, musim angin di negara itu. Pada musim gugur angin kuat bertiup dari Mongolia dan China ke arah negara pulau itu, manakala pada musim bunga, angin datang dari Filipina. Rama-rama berwarna ungu berhijrah untuk mengelak cuaca sejuk di utara dan terbang mengikut angin untuk sampai ke kawasan yang lebih panas. Jadi dari musim bunga hingga gugur, rama-rama ungu boleh dilihat hampir di serata pulau itu.

Sumber foto: www.maolin-nsa.gov.tw, 10wallpaper.com, visit mexico.com



Booking.com