Teroka Belantara Taman Negara Pahang

LUPAKAN seketika kesibukan kota. Apa kata kita masuk hutan untuk  teroka dan nikmati keindahan belantara Taman Negara Pahang. Bagi pencinta alam, kunjungan ke sini pastinya akan meninggalkan seribu kenangan indah. Pelbagai aktiviti dijanjikan sepanjang anda berada di sana.

Apa yang menarik di hutan hujan tropika ini? Ikuti pengalaman yang diceritakan kepada WOWMalaysia menelusuri hutan tua ini.

Perjalanan menaiki bas bermula dari Kuala Lumpur menuju ke Kampung Kuala Tahan. Tiba di jeti Kuala Tahan, anda dibawa menyeberang sungai untuk ke Mutiara Resort Taman Negara yang menjadi tempat penginapan selama tiga hari dua malam. Ini itinerari yang telah diatur sepanjang berada di sana

Night Walking

Aktiviti ini merupakan aktiviti pertama  selepas istirahat dan bersiar-siar di sekitar resort pada sebelah siang. Pemandu arah yang sememangnya berpengalaman luas tentang sedia menemani dan memberi penerangan tentang kepelbagaian spesies flora dan fauna di sini.

Melihat kepelbagaian fauna termasuk ular, kala jengking dan rusa walaupun hanya mampu melihat matanya yang bercahaya disuluh lampu dari kejauhan sudah cukup membuatkan rasa teruja. Tidak perlu risau tentang keselamatan mahupun kehadiran haiwan berbisa termasuk pacat kerana pihak Taman Negara telah menyediakan platform pejalan kaki yang memudahkan pergerakan para pengunjung.

Jungle Trekking

Pastikan anda punya tenaga yang cukup untuk hari seterusnya kerana kaki anda terus berjalan menjejaki Bukit Teresek dalam aktiviti jungle trekking. Jika berjalan waktu malam penglihatan agak terhad, tetapi kali ini anda dapat mendekati flora dan fauna yang jarang dilihat dengan lebih jelas.

Akviti sebegini juga merupakan satu terapi yang baik untuk anda. Bunyi unggas serta kicauan burung cukup menenangkan. Apa lagi dengan pemendangan hijau di depan mata. Penat berjala selama tiga jam hampir tidak terasa.

Canopy Walk

Cabar adrenalin dan uji tahap gayat anda dengan berjalan di atas canopy walkway terpanjang di dunia. Jambatan gantung ini dibina sepanjang 530 meter dengan ketinggian 50 meter. Jangan terlalu cemas kerana anda akan hilang rasa nikmat di atas sana. Sesekali rehat di pertengahan perjalanan dan rakamkan gambar terbaik sebagai kenangan.

Kenali Suku Batek

Tak lengkap percutian di Taman Negara jika tidak melawat orang-orang yang tinggal di sana. Anda akan di bawa menelusuriSungai Tahan ke Kuala Trenggan untuk melawat perkampungan orang asli suku Batek. Sebelum tiba di destinasi anda sudah terpesona dengan pemandangan rumah-rumah dan perkampungan orang asli yang terdapat di pesisir sungai.

Anda akan di bawa ke kawasan yang dikhaskan untuk kunjungan pelancong. Selepas diberi taklimat ringkas, anda juga berpeluang merasai aktiviti harian yang dijalankan untuk kenal lebih dekat budaya hidup mereka. Orang asli di kampung ini masih mengamalkan cara hidup nomad, mencari hasil hutan dan memburu.

Berkelah di Lubuk Tenor

Apabila sudah penat berjalan meneroka hutan, ambil masa untuk berehat di Lubuk Tenor. Di sini juga menjadi lokasi popular bagi aktiviti bird-watching. Jangan terjut jika anda ternampak spesis burung yang tidak dikenali. Anda juga akan dihidangkan dengan makanan lazat dari Mutiara Taman Negara Resort.

Lata Berkoh

Lokasi terakhir yang anda akan lawati adalah Air Terjun Lata Berkoh. Sebelum tiba di sana anda akan berhenti di beberapa pit stop menarik seperti santuari kelah dan melihat pokok tualang gergasi.

Lata Berkoh merupakan kawasan air terjun yang mengalir dari Gunung Tahan membentuk batuan seperti jakuzi semula jadi.



Booking.com