Tip Elak Bagasi Kabin Diselongkar

Ketika Memasukkan bagasi kabin dalam ruang penyimpanan, perkara terakhir yang kita fikirkan ialah berlakunya kecurian pada bagasi itu. Namun perkara itu ada berlaku. Yang melakukannya pula ialah kalangan penumpang pesawat dan krew penerbangan.

Sering kali kecurian ini berlaku dalam penerbangan jarak jauh, terutama penerbangan pada lewat malam di mana sebahagian penumpang akan mula tidur sebaik berada dalam pesawat.

Mengikut laporan berita, kebanyakan kes kecurian ini berlaku di rantau Asia. Malah dikatakan wujud geng pencuri dalam pesawat di mana tujuan mereka menaiki pesawat itu adalah semata-mata untuk mencuri, bukan untuk ke mana-mana destinasi.

Bagi mengelakkan barangan anda dicuri semasa dalam penerbangan, ikuti tip yang diberikan oleh laman sesawang corporatetravelsafety.com ini:

  1. Tandakan beg anda: Tampalkan atau ikat sesuatu yang menonjol pada bagasi kabin anda bagi mengelakkan ada pihak yang tersilap atau sengaja mengambil dan membuka bagasi anda.
  2. Terbalikkan beg anda: Ketika meletakkan beg dalam ruang simpanan, pastikan bukaan beg itu berada di bawah (beg dalam keadaan telangkup) bagi menyukarkan cubaan untuk membukanya.
  3. Kunci beg kabin anda: Walaupun agak menyusahkan, cara paling selamat ialah dengan mengunci bagasi anda. Beg kini dilengkapi dengan kuncinya sendiri atau diperbuat daripada bahan yang tahan kelar. Dengan ini, anda pasti tidak akan ada orang yang boleh menyelongkar bagasi anda semasa anda tidur atau ke tandas.
  4. Bergerak seiring dengan bagasi: Ketika anda melalui pengimbas, pastikan barangan anda bergerak seiring dengan anda. Kecurian boleh berlaku jika barangan melepasi pemeriksaan lebih pantas daripada pemiliknya.
  5. Simpan berdekatan dengan tempat duduk: Ada sebabnya kenapa anda perlu menggunakan ruang penyimpanan yang dekat dengan tempat duduk anda; lebih baik lagi jika ia disimpan di ruang bertentangan dengan tempat duduk anda supaya anda mudah melihat bagasi anda diusik.
  6. Simpan dompet di tempat sukar dalam bagasi: Ketika berada dalam pesawat, biasanya anda tidak perlu lagi membuat sebarang bayaran melainkan anda mahu membeli sesuatu dalam penerbangan. Jika ada pembelian, anda boleh guna kad kredit atau simpan sedikit wang dengan anda. Dompet anda boleh `dibenamkan’ dalam bagasi – di tempat yang paling tidak disangka oleh pencuri.
  7. Awasi barangan bawah tempat duduk: Ada masanya kita akan menyimpan barangan di bawah tempat duduk bagi memudahkan kita mengambil dan menyimpan barangan itu kembali. Kalau anda ada beg sedemikian, awasi beg itu setiap masa. Kalau ke tandas, bawa beg itu bersama – kecuali anda ada teman yang boleh membantu mengawasinya semasa ketiadaan anda,
  8. Bersuara: Jika anda melihat seseorang mengambil bagasi anda, jangan mudah melenting. Mungkin dia benar-benar tersilap, tapi tegaskan itu beg anda. Kalau anda melihat kecurian berlaku, segera beritahu seseorang – krew penerbangan, pengawal keselamatan, krew di pintu masuk.


Booking.com