Tip Elak Diarrhea Ketika Melancong

Satu perkara yang membuatkan pengalaman melancong lebih istimewa ialah apabila kita berpeluang menikmati makanan tempatan di tempat itu. Bagaimanapun, keseronokan mencuba makanan baru ini mungkin terbantut sedikit jika kita terkena cirit-birit atau diarrhea.

Mana tidaknya, mungkin kita terpaksa melupakan sesuatu aktiviti atau perancangan yang diatur gara-gara perut yang meragam ini.

Diarrhea semasa melancong (TD atau Travelling Diarrhea) merupakan salah satu perkara yang paling biasa berlaku kepada pelancong.  Mengikut anggaran Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), antara 30 peratus hingga 70 peratus pelancong antarabangsa berdepan dengan masalah ini.

TD didefinisikan sebagai membuang najis yang lembut atau berair sebanyak tiga kali atau lebih dalam masa 24 jam. Ia mungkin turut disertakan dengan demam, kejang perut, keinginan membuang air besar yang amat mendesak, loya atau muntah.

Simptom masalah ini berlaku pada minggu pertama dalam perjalanan, dan ia berlarutan selama 3 hingga 5 hari. Kebanyakan kes ini selesai tanpa sebarang rawatan. TD dianggap sederhana hingga serius jika ia diiringi oleh simptom lain dan mengganggu aktiviti normal.

Masalah TD berpunca daripada pelbagai organisma termasuk bakteria seperti E.coli, Salmonella, serta parasit seperti Giardia dan virus seperti norovirus. Organisma ini tersebar melalui pengambilan makanan atau minuman yang tercemar atau sentuhan antara mulut dengan tangan, cawan, pinggan dan lain-lain yang tercemar.

Kita juga boleh mengalami cirit-birit bila berlaku perubahan dalam diet, umpamanya memakan makanan pedas atau berminyak.

Ada beberapa cara yang boleh kita lakukan bagi mengelakkan TD menimpa kita kala melancong. Paling penting, amalkan kebersihan tangan yang betul sebelum makan atau selepas menggunakan tandas. Selain itu, ambil berat soal kebersihan makanan yang dipilih.

  • TD yang ringan atau sederhana

Paling utama ialah anda mencegah dehidrasi, terutama di kalangan kanak-kanak. Banyakkan minum air seperti jus buah yang telah dicairkan atau air dicampur garam rehidrasi.

Ubat anti-diarrhea seperti Loperamide atau diphenoxylate serta atropine boleh membantu. Bagaimanapun, ubat ini tidak disyorkan untuk kanak-kanak bawah 12 tahun. Penggunaan secara berlebihan boleh menyebabkan sembelit.

  • TD serius

Diarrhea teruk, dengan simptom yang membuatkan anda tidak bermaya, perlukan rawatan daripada doktor. Antibiotik mungkin diberi, bergantung kepada puncanya (antibiotik berkesan terhadap diarea yang disebabkan oleh bakteria, tetapi tidak dengan punca lain).

Rawat sendiri masalah diarrhea anda jika:

  • Anda berada di tempat terpencil, jauh daripada bantuan perubatan
  • Sudah mempunyai masalah usus seperti IBD (penyakit radang usus) di mana jangkitan boleh menyebabkan ia berlaku lagi.
  • Mempunyai masalah kesihatan sedia ada yang mungkin diburukkan dengan jangkitan teruk dan dehidrasi seperti diabetes yang sukar dikawal, kerosakan buah pinggang dan sebagainya.
  • Mempunyai kecenderungan untuk TD yang teruk berdasarkan pengalaman lalu.

Sekiranya simptom berterusan tanpa sebarang perubahan selepas 72 jam, dapatkan bantuan perubatan.

Selain itu, anda juga boleh mendapatkan tablet bagi mencegah diarrhea tetapi ia tidak begitu digalakkan kerana kesan sampingannya lebih teruk daripada diarea. Penggunaan antibiotik yang tidak bersesuaian juga menyebabkan masalah rintangan antibiotik.

Antara ubat bukan antibiotik yang paling berkesan untuk TD ialah Bismuth subsalicylate. Bagaimanapun ubat ini tidak sesuai untuk kanak-kanak bawah 16 tahun.

 

Sumber: www.fitfortravel.nhs.uk



Booking.com