Tips Untuk Backpackers Baru

on

Seronok mendengar cerita rakan-rakan yang pernah mengembara backpacking ke merata-rata tempat di dunia. Selain menjimatkan, ia juga memberi peluang untuk mereka berinteraksi dengan masyarakat tempatan dengan lebih dekat.

Jadi tidak mustahil kalau anda juga teruja untuk berbuat perkara yang sama… Tapi nanti dulu! Sebelum anda membeli kelengkapan yang diperlukan untuk menjadi pengembara backpacker, ikuti tips berikut untuk menikmati pengembaraan backpacking anda.

  1. Ikut kembara berjalan percuma

Perkara pertama yang perlu anda lakukan bila tiba ke sesuatu destinasi ialah mencari kembara berjalan percuma. Selain percuma, ia memberi peluang untuk anda cepat membiasakan diri dengan tempat berkenaan, sekali gus mengelakkan kemungkinan anda akan tersesat. Anda juga boleh mendapatkan banyak maklumat berguna daripada pemandu pelancong itu, yang pentingnya anda perlu banyak bertanya.

  1. Meminjam barang daripada pengembara lain

Tidak ada orang yang akan membawa semua keperluannya dalam pengembaraan itu. Jika anda memerlukan sesuatu, cuba pinjam daripada rakan pengembara lain. Sebaliknya jika mereka memerlukan sesuatu barangan yang anda ada, jangan pula lokek meminjamkannya kepada mereka.

  1. Dapatkan tip memasak daripada ibu

Memasak di dapur hostel adalah peluang untuk anda beramah mesra dengan pengembara lain. Dapatkan resipi yang mudah disediakan daripada ibu atau rakan anda. Berkongsi makanan adalah satu cara paling mudah untuk menjalin perkenalan.

  1. Tawar khidmat untuk pengalaman unik

Selidik jika ada badan atau tempat yang boleh anda tawarkan khidmat anda sebagai sukarelawan sebagai balasan untuk mendapatkan penginapan. Walaupun tidak ada notis mengenainya, tidak salah untuk anda bertanyakan perkara ini. Paling tidak mereka hanya akan menolak, dan kalau nasib baik, anda berpeluang melalui pengalaman unik bekerja di situ.

  1. Berbual dengan orang yang tidak dikenali

Mulakan perbualan dengan pengembara lain di hostel atau semasa kembara berjalan itu. Mungkin mereka menuju tempat yang sama dan anda boleh berkongsi kos untuk ke sana. Selain itu, anda juga boleh bertanyakan kepada penduduk tempatan mengenai tempat-tempat menarik yang boleh dilawati. Anda juga boleh saling berkongsi tip dengan pengembara lain.

  1. Cuba makanan penjaja

Apa yang penduduk tempatan makan, anda juga boleh memakannya. Makanan penjaja murah dan ada kalanya sangat sedap. Bagi mengurangkan risiko keracunan makanan, pilih makanan panas dan bersih. Gunakan naluri anda. Jika gerai itu tidak ada ramai pengunjung, mungkin lebih baik untuk anda mengelakkannya.

  1. Berkongsi katil untuk berjimat

Kalau anda mengembara berdua dengan rakan rapat, ada sesetengah hostel yang membenarkan anda berkongsi katil. Cara ini mungkin kurang selesa kerana sempit, tapi anda boleh menjimatkan wang.

  1. Pilih penerbangan awal pagi

Penerbangan awal pagi adalah pilihan terbaik. Biasanya harga tambangnya murah dan anda juga dapat mengelakkan kesesakan untuk tiba ke lapangan terbang. Anda boleh menyambung tidur dalam pesawat. Jika tiba ke destinasi pada waktu siang, anda boleh menggunakan waktu untuk meneroka.

  1. Sentiasa bawa air dan snek

Sentiasa bawa botol air dan snek dalam beg anda. Makanan ini berguna ketika dalam penerbangan, semasa penerbangan tertangguh atau ketika keluar melakukan aktiviti di mana makanan mungkin tidak disediakan semasa aktiviti itu berlangsung.

Sumber: https://awol.junkee

 

 



Booking.com