Tourism Selangor & Orang Asal Cipta Rekod Hasilkan Permainan Tradisional ‘Kerchang’ Gergasi

Pada 4 dan 5 Ogos lalu, Kerajaan Negeri Selangor melalui Tourism Selangor dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, serta Jabatan Kemajuan Orang Asal Malaysia (JAKOA) telah menganjurkan Festival Kesenian Orang Asal Antarabangsa Negeri Selangor 2018 yang berlangsung di Taman Botani Negara Shah Alam, Selangor.

Festival yang berlangsung selama dua hari itu  turut dimeriahkan dengan keberangkatan DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, diiringi oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, YAB Tuan Amiruddin Shari serta YB Exco Pelancongan, Kebudayaan, Peradaban Melayu dan Warisan Negeri Selangor, YB Datuk Abdul Rashid Asari.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bersama Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari pada Majlis Perasmian Selangor International Indigenous Arts Festival 2018′ di Taman Botani Negara Shah Alam.

Objektif utama penganjuran festival ini adalah untuk menghargai Warisan Budaya Orang Asal yang dipraktikkan seluruh dunia sejajar dengan perayaan World’s Indigenous Arts Festival pada 9 Ogos setiap tahun.

Tema acara tahun ini iaitu “The Hidden Gems of Selangor Unveiled” menyajikan kepelbagaian kebudayaan dan adat warisan kumpulan minoriti masyarakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan Kebudayaan, Peradaban Melayu dan Warisan Negeri Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, dengan mempromosikan budaya dan mewujudkan kesedaran mengenai orang asal, ia bukan sahaja membantu untuk menarik pelancong ke negeri ini, tetapi juga membantu masyarakat pribumi dari segi ekonomi.

Festival ini turut menerima penyertaan daripada Kaum Orang Asal dari dalam negara seperti Mah Meri, Semai, Jahut, Temiar, Seletar, dan Temuan. Selain itu, terdapat lima penyertaan orang asal antarabangsa iaitu dari Negara Iran, Filipina, Indonesia, Thailand dan Laos.

Pada tahun ini, Tourism Selangor dan Orang Asal tempatan telah mencipta sejarah tersendiri melalui “Malaysia’s Book of Record” dengan menghasilkan permainan tradisional kerchang terpanjang di Malaysia. Acara tarian kebudayaan, demo persembahan makanan tradisional, kraftangan yang unik turut menjadi tarikan sepanjang dua hari festival ini berlangsung.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (tiga, kiri) bersama Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari (kanan) menyaksikan penyerahan sijil Malaysia Book Of Records (MBR) daripada wakil MBR, Gillian Ooi (dua, kiri) kepada Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din selepas berjaya menghasilkan alat permainan tradisi Orang Asal ‘Kerchang’ gergasi yang boleh dimainkan pada Majlis Perasmian Selangor International Indigenous Arts Festival 2018′ di Taman Botani Negara Shah Alam, pada 5 Ogos lalu. Turut serta Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Perlancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari (kiri).
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (dua, kanan) bersama Menteri Besar Selangor Amirudin Shari (tiga, kanan) ketika melihat alat permainan tradisi Orang Asal ‘Kerchang’ gergasi yang boleh dimainkan pada Majlis Perasmian Selangor International Indigenous Arts Festival 2018′ di Taman Botani Negara Shah Alam, pada 5 Ogos lalu. Alat pemainan ‘Kerchang’ ini merupakan alat permainan Orang Asal paling besar yang pernah direka di Malaysia dan dicatat dalam Malaysia Book of Records.
Antara rumah tradisional masyarakat Orang Asal yang dipamerkan pada Selangor International Indigenous Arts Festival 2018′ di Taman Botani Negara Shah Alam.



Booking.com