Undang-undang Pelik Luar Negara

on
Portugal mementingkan kebersihan pantainya.

Sememangnya kita tidak mahu berdepan dengan apa jua masalah undang-undang kala di luar negara. Jadi usah ambil mudah; selidik dahulu maklumat mengenai negara yang bakal anda kunjungi itu.

Ini kerana ada sesetengah negara yang mempunyai undang-undang terhadap perkara-perkara yang mungkin kita anggap remeh sahaja. Sebahagiannya ialah seperti contoh berikut:

  1. Portugal – Pengunjung ke pantai-pantai Portugal tidak dibenarkan kencing sewaktu berada dalam air. Ini bagi memastikan pantai itu selamat untuk kegunaan keluarga.
  2. Arab Saudi – Di sepanjang bulan Ramadan, pengunjung ke Arab Saudi – tidak kira orang Islam atau tidak – dilarang daripada makan di khalayak ramai pada waktu siang. Anda boleh didenda atau dipenjarakan atas kesalahan ini.
  3. Perancis – Kecanggihan teknologi kini memudahkan anda menuju ke satu-satu tempat. Bagaimanapun penggunaan sistem navigasi satelit (satnav) adalah satu kesalahan kala anda di Perancis. Denda sehingga 1,500 Euro (RM7,320) boleh dikenakan, atau enam mata ditambah pada lesen memandu anda.
  4. Hong Kong – Jaga bahasa anda, terutamanya jika berkunjung ke Ocean Park, taman tema mamalia laut. Undang-undang di situ menghalang daripada mengeluarkan bahasa kesat kepada pengunjung atau haiwan di taman tema itu.
  5. Australia – Denda $500 (RM1,500) boleh dikenakan serta-merta oleh polis kepada mereka yang mencarut di tempat awam di New South Wales. Jadi, kawal tutur kata anda!
  6. Sepanyol – Pastikan anda memakai alas kaki yang bersesuaian semasa memandu kenderaan. Memakai flip-flop atau sandal, kasut tumit tinggi atau kasut yang terdedah di bahagian depan, apatah lagi berkaki ayam, semasa memandu adalah satu kesalahan undang-undang. Kalau memandu kereta jenis convertible pula, anda tidak boleh meletakkan barang-barang dapur (grocery) di kerusi belakangnya.
  7. Bhutan – Pengembara ke Bhutan perlu berbelanja sekurang-kurangnya AS$250 (RM1,052) sehari untuk mereka dibenarkan masuk ke negara itu. Perbelanjaan itu meliputi kos pengangkutan, penginapan, makanan dan jurupandu.
  8. Mexico – Berhati-hati kalau menunggang basikal di Mexico. Undang-undang yang dikuatkuasakan sejak 1892 melarang penunggang daripada mengangkat kaki dari pedal basikal kala menunggang. Polis juga dibenarkan menangkap sesiapa sahaja yang bersiul atau menjengkelkan penunggang basikal.
  9. Monaco – Walaupun terkenal sebagai syurga perjudian, Monaco tidak membenarkan rakyatnya berjudi di kasino-kasinonya; hanya orang asing yang boleh melakukan aktiviti itu.
  10. Singapura – Kos `data roaming’ memang mahal di luar negara, tapi berhati-hati kala menyambung kepada perkhidmatan WiFi di sini. Sekiranya anda menghubung kepada WiFi orang lain, anda telah melanggar undang-undang di republik ini dan boleh dikenakan denda sehingga $10,000 (RM30,600) atau hukuman penjara tiga tahun atau kedua-duanya.
  11. Greece – Kalau berkunjung ke tempat-tempat bersejarah di Greece, seperti Odeon of Herodes Atticus di Athens, pelancong wanita tidak dibenarkan memakai kasut tumit tinggi kerana ia akan merosakkan monumen bersejarah itu.
  12. Poland – Di bandar Tuszyn, anda tidak akan melihat Winnie the Pooh di mana-mana kawasan permainan kanak-kanak. Ini kerana ahli-ahli majlis bandaran itu menyatakan watak kartun tersebut tidak memakai pakaian lengkap dan tidak sesuai dilihat oleh kanak-kanak.
  13. Kenya – Usah cuba meniru orang Kenya yang berbogel di Hutan Simpan Masai Mara. Mereka boleh berbuat demikian, tetapi ia merupakan satu kesalahan bagi orang asing.
  14. Barbados & Saint Lucia, Trinidad & Tobago – Pakaian celoreng (camouflage) tidak dibenarkan di pulau-pulau Caribbean ini. Larangan ini bertujuan mencegah orang awam daripada meniru pegawai-pegawai tentera.
  15. Maldives – Membawa masuk alkohol, termasuk minuman keras bebas cukai, adalah satu kesalahan di negara ini.
  16. Korea Utara – Warga negara Korea Utara tidak boleh berbual dengan orang asing tanpa kebenaran kerajaan. Pelancong juga boleh didenda jika mereka membeli barangan di kedai lain selain daripada kedai yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
  17. Itali – Jarang ada orang yang mempunyai mood tidak baik kala melancong…tapi kalaulah anda berasa susah untuk tersenyum, terutama ketika di Milan, paksalah diri anda berbuat demikian. Ini kerana undang-undang di bandar itu menetapkan orang perlu senyum di tempat awam, atau mereka bakal didenda jika tidak berbuat demikian. Wajah berkerut hanya boleh ditunjukkan semasa majlis pengebumian atau di kalangan pekerja hospital. Kalau berkunjung ke St. Mark’s Square, yang merupakan aktiviti wajib di Venice, elakkan daripada memberi makan kepada burung-burung merpati di situ. Sejak 2008, perbuatan tersebut telah diharamkan bagi mengelakkan bangunan bersejarah di dataran itu rosak akibat pertambahan burung-burung berkenaan
  1. Finland – Kalau anda mengeluh kerana mendapat saman lalu lintas yang maksimumnya RM300, mungkin anda boleh menganggap anda bernasib baik kerana tidak berada di Finland. Di negara itu, saman kesalahan lalu lintas dikira sebagai peratusan daripada pendapatan pesalah. Pada 2002, seorang pengarah Nokia yang didapati salah memandu laju, telah dikenakan saman sebanyak AS$12.5 juta.
  2. Thailand – Memijak wang kertas yang mempunyai imej raja boleh menyebabkan anda dijatuhi hukuman penjara kerana dianggap menghina monarki.
  3. Nigeria – Air mineral dan minuman berkarbonat tidak boleh di bawa masuk ke negara ini, yang boleh menyebabkan anda didenda dan barangan itu dirampas.
  4. Denmark – Kalau anda menyewa kenderaan di Denmark, pastikan lampu kenderaan itu sentiasa dipasang – tak kira malam atau siang. Denda yang berat dikenakan kepada pemandu yang tidak mematuhi peraturan tersebut.
  5. Amerika Syarikat – Pastikan anda hanya melintas jalan di tempat yang telah ditetapkan. Perbuatan melintas jalan sesuka hati (jay-walk) boleh menyebabkan anda dikenakan denda serta-merta, malah mungkin ditahan.
  6. Jepun – Mereka yang mempunyai masalah alergi atau selesema kerap menggunakan semburan hidung (nasal spray). Bagaimanapun, kalau anda ke Jepun, pastikan semburan itu tidak mengandungi pseudoephedrine, kerana bahan itu adalah bahan terlarang di sana.
  7. Cyprus – Makan dan minum kenyang-kenyang sebelum memandu di Cyprus. Kalau anda ditahan kerana makan atau minum (walaupun seteguk) ketika memandu, anda bakal berdepan denda yang tinggi.
  8. Rusia – Pastikan kereta yang anda pandu berada dalam keadaan bersih. Kereta yang kotor, terutama sehingga menutupi plat nombor, boleh menyebabkan anda didenda serta-merta.
  9. Sepanyol – Memakai pakaian mandi sambil berjalan-jalan di kawasan bandar merupakan satu kesalahan di Barcelona. Mereka yang berpakaian sedemikian di luar kawasan pantai atau kolam renang, boleh dikenakan denda sehingga 300 Euro (RM1,465).


Booking.com