URUTAN BALI ASLI DI BALI SPA & SALON

SIPEMILIK spa ini sanggup pergi ke Bali untuk belajar seni urutan Bali yang terkenal ini semata-mata untuk mengenali keistimewaan dan keunikan urutan tersebut. Kursus selama enam bulan berjaya dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan sahaja.

Sambung  Nina Azalina Abdul Razak lagi,” Sebelum membuka spa, saya kerap ke spa untuk mengurangkan stres. Lama-kelamaan timbul minat untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai urutan Bali yang sebenar. Lalu saya membuat keputusan pergi ke Bali untuk mengikuti kursus urut Bali secara profesional. Tujuan saya adalah bagi menjamin perkhidmatan urutan Bali di spa yang sedia ada ini adalah asli seperti yang saya pelajari di Bali.”

Lebih mesra dengan panggilan Nina sahaja, graduan jurusan kewangan ini pernah bekerja di beberapa buah hotel sebelum menceburkan diri dalam dunia keusahawanan iaitu spa dan salun. Sekembalinya dari Bali, Nina terus menjenamakan semula spa yang sebelum ini dikenali sebagai Duchess Spa kepada Bali Spa & Salon. Bali Spa & Salon kini telah beroperasi lebih kurang dua tahun, setelah empat tahun dibawah jenama lamanya.

Daripada spa bersifat moden kini ia berubah kepada suatu pusat perkhidmatan rawatan kecantikan tubuh dan muka berkonsep tradisional Bali. Pusat rawatan Bali Spa & Salon terletak di Taman Pelangi, Semenyih, Selangor. Seperti namanya, hiasan dalamannya berkonsep Bali, menampilkan suasana nyaman, damai pada unsur-unsur kayu dan ukiran. Ini termasuk hiasan-hiasan hasil asli Bali seperti lukisan dan hiasan mangkuk seramik comel.

Bali Spa & Salon yang khas untuk wanita Muslimah sahaja dilengkapi bilik jakuzi perseorangan dan berpasangan; bilik urut dengan tiga buah katil serta dua buah bilik rawatan muka. Ia turut menyediakan kemudahan surau bagi kegunaan pelanggan.

Jelas Nina,”Di sini terdapat beberapa buah spa lain namun spa berkonsep tradisional Bali hanya terdapat di Bali Spa & Salon sahaja. Ini disebabkan terdapat permintaan pelanggan sekitar kawasan perumahan di sini yang mahukan rawatan urutan tradisional.”

Perbezaan Bali dengan urutan lain ialah ia bersifat lebih lembut menggunakan urutan jari-jemari tanpa melibatkan anggota tubuh lain seperti siku dan kaki seperti terdapat pada urutan Thai. Tambahan pula, Bali Spa & Salon hanya menggunakan produk rawatan urutan muka dan badan rumusan minyak herba asli Bali yang dibeli khas daripada pulau peranginan tersebut. Spa juga tidak menjual produk-produk rawatan ini kerana jumlah yang terhad.

Menariknya mengenai urutan Bali, ia bukan sahaj untuk rawatan badan malah turut melibatkan rawatan muka. Muka diurut menggunakan krim khas selama satu jam setengah menggunakan 30 jenis urutan bagi melancarkan pengaliran darah, merehatkan otot-otot muka sambil menyerlahkan seri wajah. Urutan terakhir pula menggunakan khasiat madu asli bagi melembutkan semula kulit.

Selain rawatan urut, Bali Spa & Salon turut menawarkan perkhidmatan rawatan kecantikan lain termasuk penjagaan kuku tangan dan kaki manicure/pedicure.  Urutan Badan Penuh  selama satu setengah jam merupakan rawatan kegemaran pelanggan di sini kerana ia membantu melegakan ketegangan otot-otot dan lenguh badan lagi menyegarkan.

Bali Spa & Salon dibuka setiap hari kecuali hari Selasa dari 10 pagi sehingga 7 malam dan pelanggan digalakkan membuat temujanji dahulu agar tidak menunggu lama untuk menerima rawatan.



Booking.com