Venice Pula Bakal Adakan Peraturan Untuk Pelancong

Setelah kerajaan tempatan di Florence, Itali membuat peraturan melarang pelancong makan sambil melepak di kaki-kaki jalan di tengah-tengah bandar bersejarah itu, kini satu lagi bandar di Itali, akan mengambil langkah yang sama.

Pihak berkuasa bandar raya Venice bakal mengenakan beberapa larangan di sesetengah kawasan tertentu. Antaranya, pelancong tidak dibenarkan berhenti di jambatan-jambatan, berenang di terusan, menunggang basikal, memberi burung makan, menggantung mangga tanda cinta di monumen atau jambatan.

Selain itu, mereka juga dilarang berbaring di bangku, memanjat pokok, bermain muzik dan menyanyi (busking), atau melukis di tepi jalan.

Denda antara 25 hingga 500 Euro bakal dikenakan kepada mereka yang melakukan kesalahan-kesalahan tersebut di kawasan-kawasan larangan yang ditetapkan di bandar raya berkenaan.

Pihak berkuasa Venice mengambil langkah tersebut bagi mengatasi masalah yang timbul akibat menerima terlalu ramai pelancong. Malah akan melarang kapal-kapal persiaran mendarat di bandar itu menjelang tahun 2021.

Sejak 2017, pihak berkuasa Venice sudah melancarkan kempen #EnjoyRespectVenezia yang mengalu-alukan kedatangan pelancong, bagaimanapun memberi amaran agar mereka mengikut peraturan dan undang-undang tempatan.

Pelancong harus lebih peka kepada masyarakat tempatan, dan tidak berbuat sesuka hati apabila di tempat orang, tidak menghormati peraturan, berkelakuan tidak sopan dan mengabaikan keselamatan awam.



Booking.com