Wang Tunai RM19,000 Menanti Kaki Pancing JPKL 2018!

Seramai 1,000 peserta dijangka memenuhi Taman Tasik Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur yang menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai RM19,000 sempena pertandingan memancing Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) 2018 tahun ke-7 siri 6 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Ahad, 16 September ini.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Khairul Anuar Mhd. Juri berkata, riadah bersama keluarga serta menghidupkan tasik-tasik di ibu kota sememangnya dinanti-nantikan kaki pancing dalam aktiviti sihat ini bertemakan `Jom Pancing Rakyat Ceria Komuniti Sejahtera’ sempena Hari Malaysia.

Tasik Danau Kota, Setapak mempunyai banyak ikan spesies terbaik.

“Menariknya siri ke-6 ini, DBKL melangkah setapak dengan memperkenalkan Tasik Danau Kota sebagai lokasi baru kaki pancing dalam siri JPKL tahun ini. Diharapkan spesies ikan bersaiz mega bakal dinaikkan selain menghidupkan tasik ini. Kedudukan tasik yang indah dan luas selain kepesatan pembangunan persekitaran menjadikan tasik ini tumpuan orang ramai,” katanya.

Peserta dikenakan yuran RM35 sahaja dan mereka boleh sertai pertandingan ini bersama keluarga sambil menikmati keindahan yang terdapat di sini.

“Juara pertandingan ini akan membawa pulang RM5,000. Diikuti RM2,000 untuk naib juara dan ketiga bakal memperoleh RM1,000.

“Pemenang keempat akan menerima RM300. Manakala tempat kelima hingga ke-10 akan menerima RM200, pemenang tempat ke-11 hingga 100 akan menerima RM100 setiap seorang,” jelas beliau ketika melepaskan lebih satu tan ikan pelbagai spesies di tasik itu, antaranya patin dan jelawat bersaiz antara 4 hingga 5 kilogram.

Menurut Khairul Anuar, Taman Tasik Danau Kota mempunyai keunikan tersendiri kerana banyak spesies ikan terbaik termasuk patin, tongsan, rhu dan toman bersaiz 8 hingga 15 kilogram menanti kaki pancing.

Peta lokasi

Turut memeriahkan JPKL 2018 ini ialah rakan strategik bersama iaitu Oyoshi Green Tea, Igloo dan Blow.

Pendaftaran boleh dibuat di meja urus setia di lokasi pertandingan pada Sabtu ini dari pukul 1.00 tengah hari hingga 9.00 malam dan pada Ahad (hari pertandingan), kaunter dibuka jam 6.30 pagi hingga 10.00 pagi.

Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman facebook: JORANKL atau menghubungi urus setia di talian 013-3052811, 013-2667011 dan 012-2846811.



Booking.com