Water Rafting di Sungai Kampar Perak

BAGI mereka yang sukakan aktiviti lasak, anda boleh cuba water rafting di Sungai Kampar, Perak. Kawasan yang terletak dalam daerah Gopeng ini menggabungkan tiga sungai utama iaiti Sungai Geruntum, Sungai Geroh dan Sungai Pacat. Menelusuri sepanjang jalan air ini akan memberi anda satu pangalalaman yang tidak akan dilupakan.

Bagi mereka yang betul-betul mahu mencuba water rafting, anda perlu ke Kampung Ulu di mana menjadi kawasan permulaan aktiviti tersebut. Di sana anda akan melihat resort yang menawarkan aktiviti water rafting. Pilih sahaja mengikut kesesuaian anda.

Sebelum memulakan aktiviti, anda akan diberi taklimat oleh petugas tentang keselamatan dan perkara yang perlu dilakukan sepanjang perjalanan. Selain itu anda juga akan diberi ujian awal sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Setelah benar-benar sedia, barulah anda akan ditempatkan dalam bot angin masing-masing dengan kawalan seorang petugas. Setiap bot boleh memuatkan antara tiga hingga enam orang dalam satu perjalanan. Apa cabaran dan keseronokan yang bakal anda lalui?

Perjalan memakan masa dua jam sepanjang lebih kurang 7-9 kilometer bergantung pada paras air. Terdapat sepuluh jeram yang bakal dilalui dan setiap satunya punya kesukaran tersendiri.

Jeram yang paling sukar adalah Easy Drop. Menurut petugas peserta mudah jatuh jika melalui kawasan ini. Setiap kali sebelum ini, petugas akan melaungkan kata ‘Boom! Bom!’ sebagai tanda anda perlu sedia dan berhati-hati.

Anda juga akan melalui kawasan jeram yang mungkin menyebabkan bot anda tersekat di celahan batu. Ketika ini kemaharian petugas serta kerjasama setiap orang yang ada di dalam bot tersebut amat diperlukan. Dengar dengan teliti setiap arahan petugas.

Di sebalik setiap cabaran, anda pastinya akan terpukau dengan kehijauan hutan. Jika berada pada tempat air tenang, ambil peluang untuk menikmati pemandangan sekitar anda. Perjalanan anda akan berakhir di Kampung Jahang sebelum dibawa pulang semula ke tapak permulaan.

INFO & GAMBAR: TOURISM

 



Booking.com