Zon Bebas Cukai Kenyir mula beroperasi – barangan yang boleh didapati antaranya coklat, bagasi, minyak wangi, pinggan, mangkuk dan peralatan memasak

on

Tasik Kenyir kini memiliki tarikan baharu apabila diisytiharkan sebagai Zon Bebas Cukai dengan aktiviti penjualan barangan yang dikecualikan cukai bermula 1 Ogos lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pembukaan fasa pertama hari ini membabitkan pusat jualan yang terdiri daripada lima premis perniagaan antaranya coklat, bagasi, minyak wangi, pinggan, mangkuk dan peralatan memasak.

Katanya, penjualan yang dijalankan ini tidak membabitkan aktiviti jualan barangan berduti tinggi seperti rokok, produk petroleum, kenderaan dan produk minuman beralkohol.

Mengikut perancangan, fasa seterusnya membabit pembukaan zon bebas cukai di Pulau Bayas yang dijangka dibuka pada pertengahan tahun depan.

“Kita berharap zon bebas cukai di Tasik Kenyir ini menjadi setanding dengan zon bebas cukai lain yang terdapat di Pulau Langkawi, Rantau Panjang dan Padang Besar pada masa akan datang,” katanya selepas Majlis Pembukaan Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Omar Ismail.

Pembukaan zon bebas cukai ini menyasarkan untuk menarik seramai 750,000 pengunjung yang akan turut bergandingan dengan tarikan sedia ada seperti Kenyir Island Hopping, Santuari Kelah dan Kenyir Elephant Conservation Village.

Selain itu, penduduk tempatan juga akan menikmati hasil daripada pembangunan Tasik Kenyir dan membuka peluang perniagaan yang luas kepada penduduk.



Booking.com